Saya ada seorang anak
07:03:00
Saya ada seorang anak. Anak saya seorang lelaki. Anak saya dilahirkan pada 23-8-2007. Mula-mula saya rasa tarikh tu amat susah untuk diingati. Namun tidak lagi sekarang. 238 adalah nombor yang cantik. Orang-orang Cina memang suka dengan no 3 dan 8. Feng shui katanya. 3 di simbolikkan dengan hidup/kehidupan dan 8 - kekayaan. Oleh itu, 38 adalah hidup kaya. Kalau 238, 2 (dua/ganda), dua kali ganda hidup kaya. No 238 memang laku di pasaran no plat kenderaan. Sebab itu saya bersedih hati bila no yang diidamkan dah habis dijual.
Anak saya memang suka buat perangai pelik. Kita mulakan dengan awal pagi.
Anak saya akan bangun pukul 6 pagi atau 7 pagi setiap hari. Melainkan malam sebelumnya anak saya tidur lambat, maka, pukul 8 atau 9 pagi barulah nampak muka budak bertuah ini. Dulu anak saya bangun lambat. Pukul 8 lebih pagi baru bangun, tapi tidak lagi sekarang. Mungkin kerana saya mengatakan kepada anak saya, "Semua orang pergi school, bangun pagi". Namun demikian, anak saya belum lagi ke sekolah. Saya pernah hantar anak saya ke kumpulan bermain (play group), namun semuanya hangat-hangat tahi ayam. Pukul 9 baru sampai pagar sekolah, baik tak payah pergi, bazirkan minyak kereta.
Selepas bangun, anak saya akan mandi. Sebenarnya saya bagi anak saya main air dalam bilik air sementara saya tengok lari-semula Desperate Housewives. Menarik! Saya suka sangat cerita ini. Betullah, bila kita ada kemewahan dunia, kita akan kekurangan masa dengan orang yang tersayang.
Berbalik kepada kisah anak kesayangan saya, selepas menghabiskan air selama sejam, saya akan mandikan budak bertuah ini. Sebenarnya saya suka tengok anak saya main air. Sebab kelakar. Nanti anak saya akan main masak-masak dalam bilik air. Ada satu hari tu, saya tengok dia basuh tangan, kaki, kepala semua, saya tanya kepada anak saya, "Buat apa tu?", dan anak saya pun berkata, "Thauffiee amek wudut". Anak saya memang pelat sedikit. Bagilah dia masa, nanti mesti dah tak pelat. Wudut tu adalah wudhu'. Lepas tu saya nampak anak saya ruku' and sujud dalam bilik air. Kelakar pun ada bila saya tengok anak saya sujud dalam bilik air. Terus saya katakan, bilik air bukan tempat untuk solat, itu tempat mandi. Barulah tiada kejadian sujud dalam bilik air lagi. Alhamdulillah.
Anak saya memang nampak macam kuih apam tapi sebetulnya anak saya adalah kurus. Kecuali ada perut buncit dan pipi yang tembam. Anak saya suka pegang tulang rusuk dia atau saya dan kata, "Eii.. Ada tulang lah. Kesian thauffieee/mommy, sakit, ada tulang". Hahaha. Kelakar. Anak saya ingat bila manusia ada tulang, manusia itu sakit.
Anak saya hanya akan makan nasi berpinggan-pinggan bila saya masak. Agak mencabar keimanan saya disitu sebab saya bukan rajin masak. Namun demi anak, masak jua. Kalau sampai masa saya yang terasa amat malas nak masak, biskut ada banyak kat rumah dan anak saya akan makan biskut. Oreo, chipsmore, wheatmeal, McVities, Famous Amos dan American Cookies adalah antara kegemaran anak saya. Seperti jua dengan Yakult. Anak saya boleh menghabiskan satu pek yang berisi 5 botol Yakult dalam masa sehari. Kadang-kadang saya rasa seperti mahu buka kilang Yakult/Vitagen, sebab peti sejuk rumah saya sentiasa penuh dengan air-air tersebut. Begitu juga dengan air Bliss dan susu kotak. Anak saya sudah berhenti minum susu botol. Susu kotak adalah pilihan sekarang.
Anak saya juga amat suka mengacau saya dalam kehidupan seharian. Ibarat anak kucing yang sentiasa menemani tuannya, begitulah jua anak saya. Kadang-kadang saya pening, adakah anak saya lahir tahun kucing? Anak saya sentiasa duduk dekat saya. Kadang-kadang saya nak menaip/menulis/tengok televisyen pun sama. Nanti anak saya akan datang dekat saya, dan bertempek dengan saya. Bertempek itu lebih kurang melekap. Tidak boleh berenggang langsung. Mungkin sebab tiada teman bermain. Saya dulu pun pernah mengalaminya sebab saya anak bongsu tapi saya suka sebab tiada orang dekat rumah, oleh itu perhatian mak dan abah adalah hanya untuk saya. Hidup adalah amat bahagia sekali!
Sekiranya saya bosan di rumah, saya akan membawa anak saya berjalan-jalan. Semestinya saya akan menjadi pemandu kepada anak saya, dan juga sebagai pengawal peribadi. Anak saya akan duduk macam Tuan Besar di bahagian belakang kereta (bukan dalam bonet kereta), di atas kerusi duduk keretanya. Andai kata saya lambat untuk bergerak dari tempat parking, nanti ada bebelan yang panjang dan bising daripada belakang. Boleh tahan mak nenek anak saya ini.
Apabila suami kesayangan saya pulang ke pangkal jalan, maksudnya, pulang ke rumah, anak saya akan minta dukung daripada suami saya. Walaupun anak saya tidak meminta didukung, suami saya akan mendukungnya. Ya. Anak saya memang dimanjakan terlebih sangat.
Anak saya juga bercakap Bahasa Melayu yang amat pelik. Soalan anak saya kepada suami saya, "Daddy peanut?". Bukan peanut, iaitu kacang. Bukan. Ia adalah penat. Itu belum lagi masuk kosa kata yang lain, "Bee-tul?".
Disebabkan tiada siapa di rumah melainkan saya, saya terpaksa melayan kerenah anak saya. Namun demikian saya suka. Namun jua nanti bila saya rasa serabut, saya merajuk dengan anak saya. Contohnya macam tadi. Saya tengah menaip dan anak saya datang, minta tolong sapukan bedak pada muka dan badannya. Amat pelik perangai anak saya. Itu antara aktiviti bosan anak saya. Macam semalam, anak saya sapu gam UHU-stick pada permukaan dinding bilik. Kemudian anak saya tampal sudu yang telah patah ke dinding itu.
Saya pergi dulu. Nanti saya akan buat episod kedua tentang anak saya. Inilah anak saya itu.

1 comments